Kenali Penulis

Penulis Mastura Mohd Salim bernaung di bawah penerbitan Komrad Buku. Beliau memulakan karier penulisannya di bawah Komrad Buku dengan buku pertamanya, ‘Cerita Orang Bank’, pada bulan Februari 2019. Kini, buku kedua beliau dilahirkan di bawah penerbitan yang sama, bertajuk ‘Kak Long Kawasan.’

Tinta Penulis | Kak Long Kawasan

Menulis untuk mengingati, menulis untuk dihayati; tapi yang paling penting menulis bagi memberi inspirasi kepada semua pembaca bahawa setiap daripada kita ada pengalaman yang berharga. 

Pengalaman adalah suatu anugerah yang tidak mungkin dirasai oleh orang lain kerana setiap pengalaman adalah unik. Pengalaman jugalah yang wajar kita jadikan sumber tambahan untuk mendidik anak-anak.

Anak-anak lahir ibarat kain putih yang polos, dan sebagai ibubapa kitalah pemimpin mereka sehinggalah mereka dewasa. Al Quran dan sunnah sebagai panduan namun pengalaman kita amat diperlukan agar kita dapat membimbing mereka.

Kak Long Kawasan menyorot semula liku-liku kehidupan sebagai kanak-kanak dan remaja yang dilalui, agar kenangan tersebut dapat dijadikan sebagai titik asas untuk mendidik. Biarlah Kak Long Kawasan menjadi sumber untuk kita mengingati kembali yang kita dahulu pun pernah  merasa bagaimana menjadi kanak-kanak. 

Kenakalan adalah  perkara biasa, dan kita yang seharusnya menegur dan membimbing mereka agar tidak hanyut terus dengan kenakalan tersebut. 

Bak kata orang ramai; 

“masa kecil kalau nakal, nampak comel, kalau dah dewasa masih melakukan perkara yang sama, rasa macam nak tempeleng saja”

Biarlah pengalaman kita digunakan sebagai pegangan; yang baik dijadikan tauladan, yang kurang baik dijadikan sempadan. 

Bagi mereka yang memilih untuk membaca buku Kak Long Kawasan, telah tersisip nota kasih sayang sebagai peringatan kepada para pembaca. Makanya buku ini amat sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat daripada peringkat sekolah, sehinggalah dewasa. 

Buku ini ibarat pesanan ringkas kepada diri kita yang terdahulu; apa yang perlu disampaikan kepada diri sendiri sewaktu kita mula memulakan keluarga dahulu.

Semoga buku ini dapat memberi serba sedikit pengetahuan ilmu kepada kita semua.


Mastura Mohd Salim merupakan seorang ahli Perbankan Islam yang mempunyai pengalaman melebihi 21 tahun di Industri Perbankan. Beliau mula bertugas sebagai seorang eksekutif pemasaran di salah sebuah cawangan di selatan tanahair dan setelah beberapa tahun menimba pengalaman di Perbankan Konvensional yang berasaskan riba (interest) beliau beralih kepada perbankan patuh Shariah yang jelas mengharamkan riba.

Beliau pernah mengetuai beberapa buah jabatan di sector korporat seperti Jabatan Product Development and Management, Jabatan Learning and Development, beliau berpengalaman dalam bidang reka produk Perbankan Islam seperti produk-produk deposit untuk kanak-kanak, individu dan juga korporat, produk pembiayaan, dan juga pelaburan untuk ditawarkan kepada individu dan juga korporat.

Selain daripada itu, beliau juga berpengalaman dalam pembangunan latihan (learning and development). Beliau juga bertanggungjawab untuk melatih pihak pengurusan seperti CEO, Ahli Lembaga Pengarah, ketua-ketua jabatan di seluruh Malaysia dan juga di luar negara untuk memahami produk-produk perbankan Islam.

Beliau  pernah berkhidmat di beberapa buah organisasi antarabangsa dan juga tempatan seperti HSBC Amanah, Standard Chartered Saadiq, Hong Leong Bank dan juga MBSB. Beliau juga pernah berkhidmat di Emirates Islamic Bank di UAE sebelum kembali ke tanahair untuk mempelopori bidang yang baru; penulisan.

Kini beliau merupakan seorang penulis sepenuh masa dan telah menghasilkan beberapa buat buku dan salah satu diantaranya adalah ‘Cerita Orang Bank’ yang diterbitkan oleh Komrad Buku dan merupakan di antara bestseller di reruai Komrad sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 berlangsung dan juga di MPH.

Beliau kini tinggal di Bandar Maharani, mengusahakan sebuah Concept Store berteraskan galeri buku dan lukisan dikenali sebagai MAMOSA @senivalet di Muar bersama suami, tiga orang anak dan seekor kucing. 

Share:

Leave a Comment

Your email address will not be published.

X